GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Meripoh, Kota Bahagia di Muadzam Shah, Genting View Resort, Apartment Meranti, Windmills Condo, Vista Residence, Apartment Mawar, Midhill Apartment dan Apartment Ramin, Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan bermula Isnin ini sehingga 23 Mei.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Kampung Meripoh dan Kota Bahagia.

"KKM melaksanakan 221 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 11 orang didapati positif Covid-19 manakala 188 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes Covid-19 di tujuh apartment dan kondominium apabila merekodkan 13 kes positif dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD di Kampung Dambai Inanam di Kota Kinabalu, Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan, Sabah ditamatkan seperti dijadualkan pada esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:23 PM