13 orang termasuk seorang penjawat awam yang berhibur sambil menghisap dadah dalam  parti liar di residensi Jalan Imbi, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi ini. FOTO IHSAN PDRM
13 orang termasuk seorang penjawat awam yang berhibur sambil menghisap dadah dalam parti liar di residensi Jalan Imbi, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi ini. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan 13 individu termasuk seorang penjawat awam berhibur sambil menghisap dadah dalam parti liar di sebuah residensi Jalan Imbi, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis yang menerima maklumat menyerbu residensi itu jam 2.45 pagi dan menahan lima lelaki serta lapan wanita berusia antara 19 hingga 39 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan empat paket ketamin bernilai RM400.

"Ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan lapan wanita termasuk penjawat awam terbabit positif methamphetamine serta ketamin manakala seorang lagi negatif.

"Parti liar itu dianjurkan seorang wanita berusia 32 tahun melalui aplikasi WhatsApps untuk berhibur bersama kenalan rapatnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, residensi itu ditempahnya semalam melalui ejen rumah iaitu seorang lelaki warga Bangladesh dengan bayaran RM180 sehari.

"Penganjur hanya menyediakan dadah ketamin untuk berhibur bersama rakannya. Suspek yang ditahan direman tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

"Mereka turut dikenakan kompaun atas kesalahan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2)(Pindaan)(No.5) 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:49 PM