Sebahagian pelajar USIM yang pulang ke kampung halaman pada Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Sebahagian pelajar USIM yang pulang ke kampung halaman pada Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Nilai: Seramai 181 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berasal dari Kelantan dan Terengganu menjadi kumpulan pertama pulang ke kampung halaman masing-masing, hari ini.

Mereka dihantar pulang menggunakan tujuh bas Usim menerusi Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Usim Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, kumpulan berkenaan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual sudah ditetapkan.

"Alhamdulillah proses berjalan lancar. Pergerakan terakhir adalah pada Selasa ini iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Kenderaan yang membawa penuntut akan berhenti di stesen bas utama yang kita kenal pasti sebelum mereka dijemput ahli keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kumpulan penuntut yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan pulang dengan kenderaan sendiri atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

"Pergerakan menggunakan kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

"Penuntut diwajibkan mendaftarkan maklumat secara dalam talian di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Usim sebagai rujukan pihak berkuasa," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, 538 penuntut memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.

"Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan 18 kenderaan membabitkan bas dan kenderaan pelbagai guna untuk menghantar penuntut yang dibuat secara berfasa.

"Seramai 66 penuntut memilih untuk terus tinggal di kampus sepanjang Aidilfitri dan kami akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:40 PM