Anggota bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran Jeti Batu Lintang selepas dipanah petir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran Jeti Batu Lintang selepas dipanah petir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Kira-kira 10.30 malam tadi anak (Mohd Nasir Md Ruzuki, 33) pesan jangan kunci pintu sebab dia akan balik lepas menangkap ikan, tapi saya tunggu dia tak balik pun.

"Saya kemudian dimaklumkan dia terjatuh ke laut akibat pengsan dipanah petir," kata Zainab Din, 56.

Menurut Zainab, kali terakhir dia bertemu dengan anak kedua daripada empat beradik itu, malam tadi sebelum Mohd Nasir turun ke laut.

Katanya, anaknya berhenti kerja sebagai posmen kerana meneruskan pekerjaan bapanya, Md Ruzuki Ismail, 63, sebagai nelayan berikutan orang tuanya sudah tidak sihat.

"Saya datang di pelantar ikan ini dan menjerit namanya "bang Chik... bang Chik" beberapa kali sambil berharap dia selamat.

"Saya berharap supaya dia ditemui segera tak kira apa jua keadaan sekali pun kerana tak lama dah nak raya, malah saya dimaklumkan dia pengsan sebelum terjatuh," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Jeti Batu Lintang, Pantai Merdeka, di sini, hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Fatehah Othman, 29, berkata suaminya sempat membelikan baju untuk dipakai pada Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan suaminya terjatuh laut dan pergi ke lokasi untuk mengetahui keadaannya.

"Saya tak sempat jumpa semalam kerana dia keluar ke laut sejak malam tadi, namun saya berdoa supaya dia selamat," katanya yang mempunyai dua anak perempuan berusia tiga dan tujuh tahun.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, operasi pencarian diperluaskan pada jarak kira-kira 0.5 meter dari tempat mangsa terjatuh.

Menurutnya, sehingga jam 1 tengah hari tadi, tiada sebarang petunjuk mangsa ditemui setakat ini.

Dalam kejadian 4 pagi tadi, seorang nelayan Sobri Hussain, 34, terselamat, manakala rakannya dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut akibat dipanah petir ketika keluar menangkap ikan di muara Sungai Merbok, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:19 PM