Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Sebanyak 49 aduan berhubung pelbagai isu perburuhan diterima Kementerian Sumber Manusia (KSM) sejak aplikasi 'Working For Workers' (WFW) dilancarkan pada Isnin lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata, jumlah aduan juga dijangka meningkat pada minggu depan selepas semua Pusat Tenaga Kerja (PTK) mula menerima aduan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, aplikasi yang diwujudkan itu bertujuan melindungi pekerja termasuk warga asing sekiranya berlaku ketidakadilan dari mana-mana pihak yang terbabit dalam urusan pekerjaan.

"Selangor dan Kuala Lumpur muncul dua negeri paling tinggi aduan yang diterima selepas lima hari dilancarkan iaitu sebanyak 15 dan 14 kes.

"Ia diikuti Kedah sebanyak lima kes, Johor (4), Perak (3) dan Pulau Pinang (3) Sarawak (2), manakala Melaka, Pahang dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes.

"Pecahan aduan yang diterima melalui aplikasi WFW ini adalah sebanyak 24 kes daripada pekerja tempatan, 24 kes daripada pekerja asing manakala satu kes membabitkan pegawai dagang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jualan Pra-Syawal di Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Awang berkata kesemua aduan yang dilaporkan itu membabitkan isu pekerja diberhentikan tanpa notis, tidak dibayar gaji dan tiada kontrak pekerjaan.

Katanya, menerusi aplikasi itu pihaknya boleh mengambil tindakan lebih pantas untuk melindungi pekerja tempatan dan asing.

"Aplikasi ini juga boleh digunakan oleh penjawat awam, tetapi kita sedia maklum mereka mempunyai prosedur dan lembaga disiplin sendiri, jadi tiada masalah buat mereka. Tetapi, aplikasi ini terbuka kepada semua yang ingin membuat aduan," katanya.

Pada Isnin lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dipetik berkata, aplikasi WFW itu akan menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Saravanan memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan dan aduan diterima akan diambil tindakan antara tiga dan tujuh hari manakala status pelaporan akan dipantau oleh pengurusan tertinggi kementerian termasuk beliau dan Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 1:44 PM