Omar Ahmad


Johor Bahru : Biarpun rakan sekuliah memilih untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, namun sebahagian kecil mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus menetap di universiti itu.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Mimi Farhana Raduan, 26, yang berasal dari Sarawak akur dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang tidak membenarkan pelajar pulang ke Sarawak dan menggunakan peluang itu untuk menyiapkan projek tahun akhir.

"Ini merupakan kali pertama saya tidak pulang beraya bersama keluarga di Kampung Aru, Sundar, Lawas. Saya perlu menerima dengan hati terbuka dan positif.

"Tipu kalau cakap tidak sedih, pastinya sedih beraya seorang diri tanpa saudara atau adik-beradik. Keluarga juga memahami.

"Saya anggap ini adalah pengorbanan yang dilakukan untuk menghabiskan pelajaran di UTM. Lagi pun, jika di kampung tiada elektrik, pasti bekalan internet juga tiada dan menyukarkan saya untuk menyiapkan tugasan yang memerlukan liputan internet termasuk kelas online," katanya ketika ditemui di Kolej Datin Seri Endon, UTM di sini, hari ini.

Menurut Mimi Farhana, ketika ini, beliau cuba mengelak mendengar lagu raya berkumandang di radio kerana terusik dan teringat ibu bapa serta keluarga di Kampung.

Katanya, dia tetap akan menyambut raya dengan memakai pakaian berwarna hijau seperti keluarga biarpun jarak yang memudahkan mereka.

"Saya sudah beli baju raya warna hijau, selepas ibu, Lianah Houssin, 52 dan bapa, Raduan Ali, 55 memberitahu tahun ini tema baju warna hijau.

"Pastinya saya merindui menu tradisi raya, Kelupis (ketupat beras pulut), rendang ayam, kari dan kek lapis," kata anak sulong dari empat beradik ini.

Sementara itu, Putri Anisah Ahmad, 24, juga tidak pulang ke Selangor kerana mahu menyiapkan tugasan akhir yang menuntutnya untuk mengumpul data pada hari raya Aidilfitri kali ini.

Katanya juga tidak mahu membazir waktu kerana perlu menjalani tempoh isolasi 10 hari sekiranya pulang ke kampung.

"Sangat sedih sebab ini pertama kali tidak balik beraya. Saya memilih tidak pulang sebab perlu menyiapkan projek tahun akhir yang memerlukan penggunaan makmal.

"Saya perlu berada di UTM untuk mengambil data pada Hari Raya. Sudah maklumkan kepada keluarga dan mereka memahami dan menyokong keputusan saya," katanya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda serta Pendidikan Sains Sukan di UTM.

Bermula hari ini, lebih 100,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan bermula hari ini hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:46 PM
MIMI Farhana (kiri) bersama Putri Anisah tidak pulang beraya dan akan berada di kampus UTM ketika sambutan Aidilfitri. FOTO Omar Ahmad
MIMI Farhana (kiri) bersama Putri Anisah tidak pulang beraya dan akan berada di kampus UTM ketika sambutan Aidilfitri. FOTO Omar Ahmad