GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) yang pulang beraya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menjalani proses pengasingan apabila kembali semula ke kampus.

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamil berkata, mereka tidak digalakkan terus bertemu atau bersama rakan lain sebaik pulang.

"Selain itu hanya pelajar yang memasuki Sabah sahaja perlu menjalani ujian calitan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu tiga hari sebelum masuk ke Sabah," katanya ketika menjadi ahli panel program Malaysia Petang Ini di Bernama TV, hari ini.

Mohd Suzeren berkata, setakat ini, sejumlah 80,000 penuntut IPT mengesahkan akan memulakan pergerakan pulang ke rumah masing-masing bermula esok bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Jumlah pelajar yang akan bergerak sekitar 80,000 orang daripada sejumlah 1.3 juta pelajar IPT di seluruh negara. Itu jumlah yang kita dapat setakat hari ini," katanya.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga penuntut juga boleh mengguna surat kebenaran dikeluarkan IPT untuk melakukan perjalanan merentas daerah dan negeri bagi mengambil anak mereka dan tidak perlu memohon kebenaran polis.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap penuntut yang pulang ke rumah masing-masing dapat mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

KPT dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lebih 100,000 penuntut yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Pergerakan mereka akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ia terkawal bermula esok hingga 12 Mei, manakala tarikh kembali ke kampus adalah 15 hingga 20 Mei.

Penuntut boleh menggunakan tiga kaedah pergerakan iaitu kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan pihak IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:23 PM