Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Tiada siasatan dalaman dilakukan dan kes diserahkan kepada polis," kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mengulas mengenai penahanan dua pegawainya yang dipercayai terbabit melindungi Geng Nicky.

Dua pegawai SPRM itu dan 10 pegawai polis ditahan menerusi Op Pelican 3.0 selepas dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang yang mana ketuanya kini dalam buruan polis.

Azam berkata, dua pegawai terbabit masih berkhidmat dan berkemungkinan digantung tugas sekiranya mereka didakwa di mahkamah.

"Setakat ini, dua sahaja yang ditahan dan saya serah pada polis sekiranya ada kes (terbabit melindungi Geng Nicky) dan saya boleh sahkan tiada pegawai lain dikatakan terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki menjawab soalan media mengenai kerjasama strategi SPRM turut bersama Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mesran Mohd Yusof (kanan) di Majlis Sidang Media Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tahun 2021. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

"Kita tunggu polis siasat dulu dan sudah tentu polis akan kemukakan kepada Peguam Negara bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta SPRM di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM mengesahkan penahanan dua pegawai suruhanjaya itu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan haram Geng Nicky serta memberi jaminan menyerahkan mana-mana pegawainya yang bersekongkol kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:32 PM