GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Aktiviti berbuka puasa dan moreh mencetuskan dua kluster baharu Covid-19 di Sabah yang dilaporkan di daerah Lahad Datu dan Kalabakan, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu yang membabitkan tempat kerja di sebuah kilang dipercayai berpunca daripada penggunaan tempat tertutup dan sempit ketika pekerja berbuka puasa.

Kluster itu juga, katanya, adalah yang kedua direkodkan di tempat yang sama selepas kali pertama pada Disember lalu dengan nama Kluster Jalan Kilang.

Katanya, Kluster Umas di Mukim Brumas, Kalabakan pula dikaitkan dengan aktiviti berbuka puasa dan pengagihan moreh yang membabitkan kes indeks bersama ahli jawatankuasa sebuah masjid.

"Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu adalah kluster jenis tempat kerja dan nama kluster sempena nama jalan di Kilang Gamalux Oil.

"Ini kluster kedua berlaku di tempat sama selepas Kluster Jalan Kilang yang didaftarkan pada Disember tahun lalu.

"Sehingga kini sebanyak 11 kes positif COVID-19 direkodkan dengan kes indeks ialah seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 37 tahun disahkan positif melalui saringan bergejala pada 23 April lalu," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kluster Umas di Kalabakan pula merekodkan sebanyak 34 kes positif setakat ini membabitkan kes indeks seorang Pengurus Lesen Pekerjaan Felda Utara Kalabakan yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 22 April.

"Turut disahkan positif ialah sembilan ahli keluarga kes indeks dan lapan orang jemaah di sebuah masjid selepas menjalani saringan kontak rapat.

"Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan aktiviti di masjid seperti berbuka puasa dan pengagihan moreh bersama ahli jawatankuasa masjid," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan penurunan kes baharu hari ini dengan hanya 64 kes berbanding 89 kes semalam dengan satu kematian direkodkan di Tawau, manakala 93 pesakit dilaporkan sembuh.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, satu lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah mulai esok iaitu di Kampung Bergosong, Tawau.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju agar kampung berkenaan dikenakan PKPD berdasarkan laporan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di lokaliti terbabit dengan sebanyak 22 kes positif dikesan daripada 59 ujian saringan dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di kampus induk UMS dan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu, di sini, masing-masing mulai esok dan hari ini.

Penamatan itu katanya selepas mengambil kira pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati jangkitan adalah terkawal dan berlaku penurunan kes, manakala semua kes positif serta kontak rapat sudah diasingkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 9:15 PM