PUSAT Pendermaan Darah yang dibuka di Pusat membeli-belah lengang pada bulan Ramadan. FOTO ihsan Pusat Pendermaan Darah HSAJB
PUSAT Pendermaan Darah yang dibuka di Pusat membeli-belah lengang pada bulan Ramadan. FOTO ihsan Pusat Pendermaan Darah HSAJB
Omar Ahmad


Johor Bahru: Bekalan platelet darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) kini berada pada paras terhad iaitu hanya tinggal 50 peratus sahaja.

Pakar Perubatan Transfusi HSAJB Dr Mohamad Mizan Gusari berkata, platelet itu salah satu komponen dalam darah selain darah merah dan darah putih.

Katanya fungsi utama platelet itu untuk membantu memberhentikan pendarahan.

"Cuba bayangkan, tanpa platelet ini, pendarahan akan tetap berterusan dan pesakit mungkin mati akibat pendarahan ini.

"Jangka hayat platelet ni hanyalah selama lima hari sahaja. Disebabkan sifatnya yang tidak boleh disimpan lama, maka kami memerlukan bekalan darah secara berterusan dari masyarakat.

"Ditambah dengan kehadiran bulan Ramadan ini, penderma darah beragama Islam tidak dapat hadir menderma darah seperti sebelum ini, situasi ini menyebabkan jumlah kutipan darah menurun 50 peratus daripada biasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohamad Mizan, pihaknya berharap masyarakat bersama-sama membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang masih memerlukan bantuan darah.

Katanya, bagi penderma darah beragama Islam, mereka masih boleh menderma darah dengan hadir ke pusat pendermaan darah kami seawal 8 pagi hingga 9 pagi atau menderma selepas berbuka puasa.

"Pastikan penderma beragama Islam yang mahu menderma sudah melewatkan sahur sebelum itu, bagi mendapatkan tenaga yang cukup untuk meneruskan puasa sepanjang hari.

"Mereka juga boleh datang ke kempen derma darah kami selepas berbuka di lokasi terpilih.

"Bagi penderma darah kami yang bukan beragama Islam, inilah masa mereka membantu rakan seperjuangan yang beragama Islam untuk menderma darah di siang hari," katanya.

Untuk rekod pada tahun lalu, hampir 90 peratus bekalan darah disumbangkan oleh penderma bukan Islam semasa bulan puasa.

Pada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pendermaan boleh lawati laman Facebook Jadual Kempen Derma Darah Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:46 PM