Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kegigihan seorang warga emas membaca al-Quran dengan menggunakan kanta pembesar mencuri tumpuan ketika Majlis Khatam al-Quran, 'Jom Celik al-Quran' 1442H/2021M, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Rokiah Arshad, 72, yang mempunyai masalah penglihatan berkata, dia tidak malu untuk membaca al-Quran walaupun terpaksa menggunakan kanta pembesar.

Menurutnya, dia rasa bertuah terpilih dalam program 'Jom Celik al-Quran yang dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ).

"Saya bukanlah pandai baca al-Quran, memang nak belajar, sampai bila-bila pun nak belajar. Sebutan huruf, panjang pendek (hukum tajwid) belum lagi dapat kuasai.

"Cuma agaknya saya pakai kanta untuk membaca jadi terpilih. Apa pun, sampai bila pun kena belajar, jangan malu," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Menurutnya, dia menghadapi masalah penglihatan terutamanya pandangan mata kanan semakin merosot sejak tiga tahun lalu menyebabkan terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk membaca.

Rokiah yang sudah kematian suami dan ibu kepada tujuh anak serta cucu menjelaskan, ada yang mungkin melihat dia sukar mengaji sambil memegang kanta pembesar.

"Tetapi ia (terpaksa guna kanta pembesar) tidaklah hingga mematahkan semangat dan menyebabkan saya malas untuk terus mendalami al-Quran.

"Meskipun usia sudah lanjut, hati saya kuat untuk mendalami al-Quran. Alhamdulillah, bacaan semakin baik dan saya berjaya menghabiskan pengajian dan khatam al-Quran," katanya

Sementara itu, pada majlis Jom Celik al-Quran itu seramai 120 peserta khatam diraikan dalam majlis yang dirasmikan Pengerusi Maiwp Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

ROKIAH menggunakan kanta pembesar bagi memudahkannya membaca al-Quran. FOTO Asyraf Hamzah
ROKIAH menggunakan kanta pembesar bagi memudahkannya membaca al-Quran. FOTO Asyraf Hamzah

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IPaQ Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Mereka yang diraikan hari ini terdiri daripada peserta asnaf yang menyertai Kelas Tahsini dan berjaya menamatkan pengajian selama 90 jam yang diadakan sejak Julai tahun lalu di beberapa lokasi termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, PPR Seri Alam dan PPR Seri Malaysia.

Selain kelas Tahsini, program yang dilancarkan pada 13 Julai tahun lalu itu, dibahagikan kepada dua kategori lagi, iaitu kelas ibtida'i atau kelas asas bagi yang tidak pandai membaca al-Quran; serta Kursus Latihan Tenaga Pengajar membabitkan bimbingan kepada guru di Tadika Islam Maiwp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 4:23 PM