ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya LEKAS, semalam. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya LEKAS, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan 15 'mat rempit' merentas negeri dari ibu negara untuk menjamu selera di sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan, mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka dikesan dalam satu operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman. bermula 10 malam.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya mengesan semua penunggang motosikal terbabit melakukan aksi tunggangan berbahaya.

"Semua penunggang berkenaan yang terdiri daripada tiga kumpulan berasingan didapati melakukan aksi zig-zag, superman, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.

"Mereka kemudian ditahan secara berasingan di sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, siasatan mendapati semua penunggang terbabit berusia antara 18 hingga 34 tahun datang dari Kuala Lumpur untuk makan di sebuah restoran di Seremban.

"Selain tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kami juga akan mengambil tindakan kompaun terhadap semua penunggang motosikal terbabit atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Kami turut menyita 15 motosikal masing-masing jenis Yamaha 15ZR, Yamaha 135LC dan Yamaha 125Z.

"Semua tangkapan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 1:07 PM