Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat dakwaan seorang guru di sebuah sekolah yang didakwa membuat jenaka rogol ketika sesi pembelajaran di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pelaku jika siasatan membuktikan dakwaan benar.

Malah katanya, tiada sebarang toleransi dan kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikaitkan dengan kes seumpama itu.

"Kami di kementerian mengambil serius perkara ini dan siasatan mendalam sedang dilakukan selain ia juga sudah menjadi kes polis.

"Jika terbukti ada kes, maka tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

TANGKAP layar daripada rakaman video oleh pelajar perempuan yang mendakwa guru lelakinya bergurau mengenai rogol ketika subjek PJPK.
TANGKAP layar daripada rakaman video oleh pelajar perempuan yang mendakwa guru lelakinya bergurau mengenai rogol ketika subjek PJPK.

Polis sebelum ini dilaporkan menerima dua laporan berhubung dakwaan seorang guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika sesi pembelajaran subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilapor berkata, dua laporan itu dibuat seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun kerana perkataan dikeluarkan dianggap tidak sesuai dan gurauan rakan sekelas mengenai kes terbabit.

Kejadian itu tular selepas seorang pelajar perempuan memuat naik video menceritakan hal itu di aplikasi TikTok dengan menggambarkan cara pengajaran guru lelaki berkenaan yang dikatakan berbaur lucah ketika membincangkan topik kesedaran mengenai gangguan seksual.

Kejadian itu dipercayai berlaku Jumaat lalu di sebuah sekolah di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 4:15 PM