GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenalpasti dan mengesahkan kewujudan empat lagi kes tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351, menjadikan jumlah terkini adalah 21 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, survelan genomik Covid-19 terus dijalankan dan membabitkan lebih banyak sampel dari negeri di seluruh negara.

Menurutnya, kes berkenaan melalui survelan genomik yang dijalankan dari 15 April sehingga semalam.

"Daripada jumlah ini, tiga kes dilaporkan di daerah Kuala Langat, manakala satu kes lagi adalah yang pertama di luar Selangor iaitu kes Covid-19 yang disahkan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan.

"Selain itu, melalui survelan genomik terkini bagi tempoh yang sama (15 April hingga semalam), sebanyak 29 kes Covid-19 menjalani jujukan genom penuh merangkumi negeri Johor, Selangor, Putrajaya, Sabah, dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, data genom SARS-CoV-2 bagi kes-kes ini menunjukkan kitaran 'lineage' yang lazim dijumpai iaitu Malaysian B.1.524 di Semenanjung Malaysia dan B.1.466.2 di Sarawak yang dikategorikan sebagai bukan Variant of Concern (VOC).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan menyambut baik pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keputusan kerajaan mengenakan kawalan lebih ketat bagi pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus SARS-CoV-2 jenis VOC dalam komuniti yang mana tempoh kuarantin dipanjangkan dari selama 10 hari kepada 14 hari.

"Ini akan mengurangkan risiko kemasukan virus SARS-CoV-2 jenis VOC ke dalam Malaysia," katanya.

Katanya, KKM juga ingin memaklumkan terdapat 10 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini yang membabitkan tujuh kluster tempat kerja, dua kluster komuniti, dan satu kluster sekolah / institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:56 PM