Aizat Sharif


Arau: Kekurangan lembu tempatan dan kebergantungan kepada lembu import mungkin menyebabkan peniaga daging di Perlis tetap mahukan harga daging dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 dikaji semula

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Perlis, Azizan Sulaiman berkata, walaupun tiada laporan rasmi mengenai perkara berkenaan di Perlis namun pihaknya tetap memantau perkembangan terhadap isu yang berlaku itu.

"Saya ada melihat rungutan dan gesaan supaya harga RM34 untuk daging segar yang ditetapkan dalam SHMMP dikaji semula namun kita di pihak kerajaan negeri masih belum menerima laporan rasmi mengenai perkara berkenaan.

"Namun saya tidak menolak kemungkinan bahawa kekurangan lembu tempatan serta kebergantungan kepada lembu import terutama dari Thailand menyebabkan harga daging segar dikatakan meningkat naik bagi musim perayaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran di Bazar Ramadan Arau, di sini semalam.

Dalam perkembangan lain pula, tiada sebarang kenaikan minyak masak bersubsidi dikesan berlaku di negeri Perlis seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Harga minyak masak terutama satu kilogram masih kekal dengan RM2.50 manakala harga minyak masak botol juga masih kekal dengan harga masing-masing mengikut jumlah berat isi padu yang dibotolkan.

"Diharapkan semua pihak dapat mematuhi SHMMP 2021 ini dan tidak sesuka hati menaikkan harga pada barangan yang sudah ditetapkan dalam skim berkenaan yang berlangsung selama sebulan dari 21 April hingga 20 Mei hadapan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Azizan berkata, kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati, sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah di seluruh Malaysia adalah sekitar 44.5 peratus bersamaan 17,000 tan sehari.

"Jumlah berkenaan boleh memberi makan sebanyak 3,000,000 orang sehari dengan tiga kali hidangan dari sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

"Manakala di Perlis sahaja, sisa makanan yang direkodkan sehari adalah sebanyak 35.9 peratus atau 52.5 tan sehari di mana ia boleh memberi makan sebanyak 1,300 orang dengan tiga kali hidangan.

"Pembaziran ini lazimnya sering berlaku pada Ramadan terutama di bazar Ramadan, hotel serta restoran yang menganjurkan bufet berbuka puasa di mana sisa makanan yang tidak habis itu akan dibuang sahaja selepas itu," katanya.

AZIZAN Sulaiman (empat dari kanan) bersama Shamsuharizal Basir (lima dari kanan) bersama mangkuk tingkat yang disarankan untuk pengunjung bazar Ramadan ketika program Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran di Bazar Ramadan Arau. FOTO AIZAT SHARIF
AZIZAN Sulaiman (empat dari kanan) bersama Shamsuharizal Basir (lima dari kanan) bersama mangkuk tingkat yang disarankan untuk pengunjung bazar Ramadan ketika program Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran di Bazar Ramadan Arau. FOTO AIZAT SHARIF

Terdahulu, Azizan bersama Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir bersama-sama meninjau perjalanan operasi peniaga Bazar Ramadan Arau disamping memberi penerangan dan gesaan untuk mengelakkan pembaziran makanan serta mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan peniaga.

Manakala, pengunjung bazar Ramadan pula digalakkan untuk membawa mangkuk tingkat dalam dalam usaha mengelakkan pembaziran serta penggunaan beg plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 12:56 PM