Senibina bercirikan Cina dan Aceh pada bumbung di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI
Senibina bercirikan Cina dan Aceh pada bumbung di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI
Oleh Nuraliawati Sabri


Melaka: Berusia lebih 300 tahun dan menjadi antara masjid tertua di Malaysia, sudah pasti Masjid An-Nur Peringgit mempunyai sejarah tersendiri.

Antaranya ialah keunikan seni binanya yang sinonim dengan era kegemilangan Empayar Melaka suatu ketika dahulu.

Sekali gus, masjid ini yang asalnya dibina pada 1726 menjadi lambang sejarah Melaka sebelum ia musnah dan dibina semula pada 1868 dan menjadi tempat berlangsungnya majlis ilmu agama dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut Imam l Masjid An-Nur Peringgit Wahid Abu, masjid itu berbentuk segi empat dan mempunyai tiga lapisan bumbung.

"Strukturnya mempunyai keunikan tersendiri, ia bercirikan Aceh dan China.

"Malah, pada awal pembinaan gentingnya, ia gabungan antara dua ciri iaitu terdiri daripada genting China pada bahagian beranda manakala genting Belanda di bahagian bumbung tengah dan utama.

"Bagaimanapun, ia diganti kepada genting simen pada 1978 hingga 1979.

"Masjid ini juga tidak menggunakan paku sebaliknya hanya menggunakan pasak selain tiada kubah seperti kebiasaan masjid lain dan juga tiada menara azan," katanya.

Keadaan dalaman dan ruang solat di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI
Keadaan dalaman dan ruang solat di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI

Antara kayu yang diguna dalam pembinaan masjid ini ialah jati, pahang dan berlian.

Jelasnya, pada awal pembinaan semula sekitar 1970an, masjid ini tidak dikunjungi ramai jemaah memandangkan kawasan berdekatan masih belum dipenuhi penduduk.

Masjid hanya dikunjungi pada waktu Maghrib dan Isyak sahaja.

"Bagaimanapun, situasi itu mula berubah dan ia mula diimarahkan sekitar 1976 apabila penduduk mula solat lima waktu di masjid bahkan kini, Masjid An-Nur antara masjid tumpuan jemaah sama ada dalam kalangan penduduk setempat ataupun orang luar.

"Pada jemaah yang pernah datang berjemaah atau singgah solat di sini, mereka pasti akan datang kembali termasuk penduduk yang sudah berpindah keluar.

"Ini kerana mereka mengatakan suasana di masjid ini lain, ia sejuk dan nyaman walaupun tanpa pendingin udara. Ia menyebabkan pengunjung merasai ketenangan ketika beribadat," katanya.

Katanya, empat tiang seri di masjid itu juga diperbuat daripada kayu balak dan ia kekal kukuh hingga kini.

Wahid berkata, sebelum adanya bekalan elektrik, lampu kaca yang diletakkan lilin di bahagian dalam serta digantung digunakan untuk menerangi masjid pada waktu malam dan lampu itu masih tergantung elok walaupun sudah tidak digunakan lagi.

"Walaupun kerja penambahbaikan dijalankan, termasuk menambah besar bahagian belakang dan dibina kelas fardu ain untuk kanak-kanak, beberapa aspek lain masih dikekalkan, antaranya mimbar tetapi ia diperkemaskan.

"Alhamdulillah, kini pelbagai program disusun bagi mengimarahkan lagi masjid baik untuk dewasa mahupun kanak-kanak. Malah banyak pihak tampil mengadakan program di sini termasuk penuntut universiti," katanya.

Jelas Wahid, beberapa pembesar dan orang kenamaan juga pernah singgah bersolat di Masjid An-Nur Peringgit ketika datang melawat Melaka.

Khubah atau menara azan tidak kelihatan seperti masjid lain di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI
Khubah atau menara azan tidak kelihatan seperti masjid lain di Masjid An - Nur, Peringgit, Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI

Antaranya mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta penulis dan ulama Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof Hamka pada 1976.

"Selain itu, masjid ini juga mempunyai sebuah jam matahari yang berusia kira-kira 100 tahun. Ia dukunya digunakan untuk mengukur masa bagi mengetahui masuknya waktu solat namun kini sudah tidak berfungsi.

"Masjid ini mampu menampung lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

"Bagaimanapun, sejak pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), hanya 500 jemaah dibenarkan bagi memastikan penjarakan fizikal," katanya.

Tambahnya, pada 2002, Jabatan Muzium dan Antikuiti turut menjalankan kerja-kerja konservasi bagi mengembalikan semula bentuk asal Masjid An-Nur Peringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:05 AM