Antara yang membantu mendapatkan dana untuk mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Sandakan. Foto Ihsan Mohd Fadzly Murni
Antara yang membantu mendapatkan dana untuk mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Sandakan. Foto Ihsan Mohd Fadzly Murni
Redzuan Muharam

Sandakan: Seramai 50 peniaga pakaian terpakai sekitar daerah ini berganding bahu mengumpul dana dengan mengadakan jualan amal menerusi Facebook (FB) dalam usaha membantu penduduk Kampung Sundang Laut, Batu Sapi di sini yang menjadi mangsa kebakaran, pagi kelmarin.

Wakil peniaga, Mohd Fadzly Murni, 26, berkata, kira-kira RM10,000 terkumpul hasil jualan selama tiga jam yang diadakan malam kelmarin.

Menurutnya, sebahagian wang itu digunakan untuk membeli barangan keperluan dan sudah diagihkan kepada penduduk terbabit pada petang semalam, bantuan selebihnya akan diberi dalam bentuk wang tunai.

"Idea untuk mengumpulkan peniaga sekitar Sandakan ini untuk mengadakan jualan amal ini tercetus selepas menerima maklumat mengenai insiden kebakaran itu.

"Alhamdulillah, inisiatif ini mendapat sambutan daripada mereka yang sudi menjual stok pakaian sedia ada.

"Kita bersiaran langsung langsung bermula 9 hingga 12 tengah malam dan sebahagian pembeli tidak mengambil pakaian sebaliknya sekadar membuat pembelian dengan niat untuk menyumbang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Fadzly, kesemua peniaga terbabit sepakat untuk menyumbang semua hasil jualan pada malam kelmarin kepada mangsa kebakaran.

"Selain membeli barangan keperluan yang dijadikan bakul makanan, kita turut mengagihkan pakaian terjual kepada penduduk yang terkesan.

"Itu antara usaha yang dapat kita lakukan bagi membantu kira-kira 77 keluarga yang terkesan akibat kebakaran berkenaan.

"Diharap bantuan ini memberi sedikit kelegaan buat mereka menempuh ujian hebat ketika Ramadan ini,"

katanya.

Kelmarin, kira-kira 30 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi.

Sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 7.55 pagi dan berjaya mengawal kebakaran 9.17 pagi.

Tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:58 PM