Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan ke KPDNHEP & Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di Putrajaya. Turut kelihatan Alexander dan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid. FOTO IHSAN KPDNHEP
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan ke KPDNHEP & Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di Putrajaya. Turut kelihatan Alexander dan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid. FOTO IHSAN KPDNHEP
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kenaikan harga ayam tidak sepatutnya berlaku kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) sejak 21 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh untuk menyesuaikan harga barangan berkenaan juga sudah tamat dan tindakan undang-undang boleh diambil kepada individu yang tidak mengikut penetapan harga berkenaan.

Menurut beliau, pelaksanaan harga barangan itu dijalankan di setiap peringkat bermula daripada peladang, pemborong dan peruncit.

"Harga maksimum bagi sekilo ayam yang ditetapkan di peringkat peladang ialah RM5.80, manakala pemborong pula adalah RM7.10 dan diikuti peruncit, RM7.90.

"Sekiranya pemborong menjual harga lebih mahal daripada RM7.10, ia sudah melanggar peraturan dan tindakan undang-undang boleh diambil.

"Sekiranya kesemua pihak mengikut harga yang sudah ditetapkan, tiada isu peruncit terpaksa menjual mahal sebab kita sudah hadkan harga di setiap lapisan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri sempena Lawatan ke KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, ada peniaga yang masih berdegil dan tidak mahu menurunkan harga ayam kerana harga yang ditetapkan oleh kerajaan adalah harga sama mereka dapatkan kepada pemborong.

Menurut laporan berkenaan, langkah kerajaan untuk menyekat kenaikan harga barangan basah itu bagaimanapun tidak bersifat menyeluruh, sebaliknya hanya membunuh masa depan golongan peniaga yang kini ibarat kais pagi, makan pagi.

Dalam pada itu, Alexander berkata, kementeriannya akan mengumumkan lebih 30 barangan dalam SHMMP secara berperingkat.

Sementara itu, mengenai lawatan ke ECC, Alexander berkata, ia berfungsi sebagai satu pusat sehenti antara pejabat KPDNHEP negeri dengan cawangan untuk memberikan arahan, tindakan penguatkuasaan, pencegahan serta risikan.

Alexander berkata, ECC ialah sebuah platform penyeliaan dan strategi penguatkuasaan secara digital dan ia dilengkapi dengan perisian serta peralatan canggih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 3:30 PM