Siti Rohana Idris


Tumpat: Sejak isterinya diserang strok lebih setahun lalu, seorang suami tidak pernah membiarkan wanita itu berjauhan darinya walaupun seketika.

Ada masanya wanita tidak dapat berjalan dan bercakap itu ditolak dengan kerusi roda ke tempat kerjanya tidak jauh dari rumah kerana bimbang diserang sawan ketika tiada yang menjaga.

Itu pengorbanan dilakukan Amran Safie, 45, terhadap isteri tercinta, Norliza Mahat, 44, dari Kampung Tanjong Che Mas, di sini, yang menguruskan sepenuhnya wanita itu yang lumpuh di beberapa bahagian tubuh.

Amran berkata, sejak isterinya jatuh sakit, dia sudah lama tidak bekerja kerana Norliza bergantung sepenuhnya kepadanya dan baharu sebulan kebelakangan ini dia kembali bekerja mengambil upah mengecat.

"Saya sebelum ini bekerja sebagai nelayan, tapi sudah lebih setahun tidak ke laut kerana perlu menguruskan isteri dan kini baharu diberikan kerja sebagai tukang cat kerana perlu mencari pendapatan untuk menyara kami empat beranak.

"Saya tidak boleh bekerja jauh dari rumah kerana perlu berulang-alik menguruskan isteri dan ada kalanya saya akan membawanya sekali ke tempat kerja kerana bimbang dia diserang sawan dan kejang seorang diri di rumah.

"Tugas menjaga dibantu dua anak berusia sembilan dan 16 tahun, tapi mereka pun tidak terdaya mengurus terutama untuk mengangkat ke bilik mandi atau menyediakan makanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman bersama seorang penyumbang, Mustaffa Hassan yang tampil menyerahkan sumbangan zakat dan lampin pakai buang, beras dan ayam mentah.

Amran berkata, setiap kali selepas pulang kerja, tanpa menghiraukan penat dia akan membawa isterinya mengambil angin dengan menaiki kerusi roda dan rutin itu sangat digemari Norliza.

AMRAN menolak kerusi roda untuk membawa isterinya, Norliza Mahat yang diserang strok mengambil angin selepas pulang dari tempat kerja ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Che Mas. FOTO Siti Rohana Idris
AMRAN menolak kerusi roda untuk membawa isterinya, Norliza Mahat yang diserang strok mengambil angin selepas pulang dari tempat kerja ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Che Mas. FOTO Siti Rohana Idris

"Isteri memang perlu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan dan menjalani proses fisioterapi, tetapi saya tiada kenderaan untuk membawanya.

"Ada cadangan agar mendapatkan khidmat ambulans berbayar tapi agak mahal bagi kami yang tidak mampu.

"Buat masa sekarang saya hanya mampu memanggil tukang urut sesekali untuk mengurut isteri dan itu pun menggunakan duit sedekah mereka yang datang menziarah kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima sebanyak RM500 sebulan hanya cukup untuk pembelian lampin pakai buangnya sahaja.

"Saya berharap agar dapat dibina bilik air di ruang tamu sahaja kerana sukar mengangkat isteri ke dapur, malah dia pernah terjatuh ketika mengengsot menuruni tangga untuk ke bilik air ketika ketiadaan saya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Amran di talian 01140228764 atau sumbangan ke akaun Maybank miliknya iaitu 153010563976.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 1:54 PM