Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Sebuah sekolah menengah di daerah ini gempar apabila seorang pelajar perempuan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pada 7.30 pagi menyebabkan mangsa patah tulang belakang dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Di HTK, rawatan yang diberikan kepada mangsa adalah disimen di kaki kanan.

"Mangsa kemudiannya menjalani pemeriksaan ujian imbasan dan disimen di pinggul sehingga dada di HSB," katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini didapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kejadian terbabit.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 12:13 AM