Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Wilayah Persekutuan bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada enam penuntut Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Wilayah Persekutuan Nor Hizwan Ahmad berkata, penuntut berkenaan difahamkan berasal dari keluarga berpendapatan rendah sudah membuat permohonan bagi pengurangan denda terhadap jumlah kompaun dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekalipun jumlah yang dibayar adalah lebih rendah dari nilai sebelum ini, ia tetap membebankan penuntut dan keluarga mereka.

"Kita akui bahawa kesalahan pelanggaran SOP adalah satu perkara serius dan penguat kuasa KKM hanya menjalankan tugas mereka sahaja.

"Namun begitu, kita juga perlu memikirkan nasib penuntut itu yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dan tekanan ekonomi yang sedang mereka hadapi pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu penuntut berkenaan dengan membayar semula jumlah kompaun yang dibayar kepada KKM atau membayar terus bagi pihak penuntut terbabit sekiranya pembayaran denda belum dibuat.

"Kita memohon supaya pihak penuntut berkenaan atau keluarga mereka dapat menghubungi kami dengan segera bagi urusan penyaluran bantuan ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam penuntut Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng yang dikenakan kompaun RM1,500 oleh pegawai KKM seperti tular di media sosial sudah diberikan pengurangan kompaun.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming dipetik berkata, pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan penuntut diadakan di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran semalam.

Kesemua penuntut berkenaan hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun sudah diberikan mengikut tatacara sedia ada.

Berita berkaitan

6 penuntut kolej dikurangkan kompaun

Pelajar KMP Gopeng dikompaun: Mereka boleh merayu

Kompaun pelajar RM1,500: Jabatan Kesihatan Perak lakukan siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 11:02 PM