Foto hiasan
Foto hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan menafikan dakwaan yang tular berhubung kerajaan negeri mewajibkan semua rakyat perlu mempunyai lesen sebelum menggali tanah untuk perigi.

Jabatan itu menerusi kenyataan media berkata, kegunaan perigi bagi tujuan domestik seperti penggunaan air telaga di rumah adalah di bawah kategori sara diri yang mana rakyat tidak perlu membuat permohonan lesen.

Menurut kenyataan itu, jika kegunaan perigi bagi tujuan perniagaan atau komersial, pemilik premis dikehendaki memohon Lesen Abstraksi Air Tanah daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.

"Sebelum ini, viral berkenaan orang ramai akan didenda di mahkamah sebanyak RM300,000 jika tidak mempunyai lesen membina perigi. Itu maklumat yang mengelirukan rakyat.

"Surat arahan pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 yang tular sebelum ini adalah surat arahan yang dituju kepada pemilik premis perniagaan dan industri," katanya.

Beliau berkata, surat berkenaan yang tular sejak semalam memang sah dikeluarkan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan diberikan kepada pemilik premis perniagaan yang menggunakan air tanah sebagai sumber air operasi, supaya memohon Lesen Abstraksi Air Tanah.

Menurutnya, ia bukannya diberikan kepada pemilik rumah atau pemilik kediaman yang menggunakan perigi sebagai penggunaan isi rumah.

"Sebagai contoh mudah, Pak Cik Ali memiliki perigi dan menggunakan perigi sejak 10 tahun yang lalu, tidak perlu membuat permohonan Lesen Abstraksi Air Tanah kerana penggunaan perigi itu adalah bersifat sara diri untuk kegunaan isi rumah.

"Anak Pak Cik Ali memiliki perigi dan menggunakan perigi berkenaan untuk kegunaan Perniagaan Kedai Dobi Layan Diri 24 jam, maka anaknya perlu memohon Lesen Abtraksi Air Tanah kerana penggunaan perigi adalah bersifat komersial dan perniagaan, bukannya untuk kegunaan persendirian.

"Untuk mengetahui proses lanjut berkenaan permohonan lesen Abstraksi Air Tanah, boleh berhubung dengan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim atau menghubungi kami di talian 09-7475240," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:47 PM