Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Majikan kepada dua pengawal peribadi yang dibelasah dan diacukan pistol kerana enggan menuruti arahannya supaya tidak berpuasa akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40-an berkenaan berdepan beberapa pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan diikuti satu pertuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur.

"Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk pertuduhan terhadap suspek utama (majikan) mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah seorang mangsa.

"Selain itu, suspek utama juga akan dituduh mengikut Seksyen 109 dan 324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan pembantu peribadinya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek utama juga akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menampar serta menyerang perut seorang mangsa menggunakan lutut.

"Suspek utama akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan agama yang dianuti kedua-dua mangsa.

"Selain itu, suspek utama juga akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Kuala Lumpur.

"Pembantu peribadi kepada suspek utama juga bakal didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan tanpa syarat memandangkan tiada sebarang kaitan dengan kejadian serta tiada sebarang keterangan yang boleh mengaitkannya secara material.

"Dua lagi suspek pula dilepaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan," katanya.

Sebelum ini dilaporkan dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa pada 14 April lalu.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang.

Kejadian itu turut tular di media sosial dan menyebabkan masyarakat mahu keadilan yang setimpal terhadap mangsa.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:46 PM