GAMBAR terakhir pelajar perempuan Tingkatan Lima, Siti Noraini (dalam bulatan) yang maut dilanggar lori ketika melintas jalan di Jalan Sungai Air Tawar, dekat Kampung Bumi Hijau, semalam. FOTO Ihsan pembaca
GAMBAR terakhir pelajar perempuan Tingkatan Lima, Siti Noraini (dalam bulatan) yang maut dilanggar lori ketika melintas jalan di Jalan Sungai Air Tawar, dekat Kampung Bumi Hijau, semalam. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Semalam, Siti Noraini Tukiman, 17, sempat meminta ibunya, Juariah Ridwan, 54, memasak nasi goreng sardin sebagai juadah untuk bersahur.

Selepas bersahur dan menunaikan solat Subuh, Siti Noraini yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah bersiap untuk ke sekolah dan dihantar bapanya, Tukiman Hambali, 67, dengan menaiki motosikal.

Pada masa sama, anak bongsu daripada enam beradik itu sempat berpesan kepada bapanya bahawa dia perlu hadir kelas tambahan pada sesi petang dan meminta supaya diambil di sekolah.

Namun kelas tambahan itu dibatalkan dan dia pulang ke rumah dengan menaiki bas.

Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya apabila Siti Noraini meninggal dunia dilanggar lori ketika melintas jalan sebaik turun dari bas di Jalan Sungai Air Tawar, dekat Kampung Bumi Hijau di sini, jam 3.30 petang semalam.

Tukiman berkata, sebelum kejadian dia pergi ke SMK Munshi Abdullah untuk mengambil Allahyarham dan mengetahui perkhabaran pilu itu melalui anak buahnya yang datang ke sekolah itu.

"Dia (anak buah) cari saya, bagitahu yang arwah 'dah tak ada'. Saya tanya dia dua kali (apa yang terjadi), tetapi dia tetap menangis.

"Saya berasa tidak sedap hati sebelum ke lokasi kemalangan. Saya terkejut kerana kemalangan membabitkan anak perempuan sendiri," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurut Tukiman, dunianya menjadi gelap seketika saat dia mendekati jenazah Allahyarham yang sudah tidak bernyawa.

Katanya, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun dalam minggu ini dia meminta izin untuk naik bas pulang ke rumah.

"Sebelum ini, saya yang menghantarnya pergi dan pulang (ke sekolah) dengan menaiki motosikal. Tetapi, minggu ini arwah hendak naik bas (pulang ke rumah) selepas tamat sesi sekolah.

"Saya sekeluarga reda dengan pemergian arwah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.

Tukiman berkata, jenazah Allahyarham ddikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banting selepas selepas selesai urusan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari SMK Munshi Abdullah menuju ke rumahnya di Kampung Bumi Hijau.

Beliau berkata, lori terbabit pula sedang dalam perjalanan dari Sungai Besar menuju ke Parit Baru untuk menghantar perabot.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

Pelajar Tingkatan 5 maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:04 PM