YOUSRY. FOTO Arkib NSTP
YOUSRY. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menyangkal dakwaan ahli keluarga penyelam yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Satang Besar, bahawa pihaknya tidak melayan panggilan kecemasan yang dibuat pada hari kejadian, Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah Operasinya, Kepten Yousry Yaali, sebaliknya menjelaskan nombor telefon yang didakwa abang mangsa tidak berjawab itu bukan milik agensi terbabit.

Difahamkan, abang mangsa mendakwa memperoleh nombor kecemasan itu daripada seorang pengusaha kedai peralatan menyelam, namun lebih 10 panggilan yang dibuatnya tidak dijawab.

"Abang mangsa mendakwa ada cuba menghubungi APMM pada hari kejadian untuk melaporkan kejadian dan mendapatkan bantuan tetapi panggilan tidak dijawab.

"Hasil pemeriksaan mendapati nombor yang dihubunginya bukan talian kecemasan 24 jam Pusat Operasi Maritim Sarawak atau MERS 999," katanya pada sidang media di jeti awam Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.

Yousry berkata, talian kecemasan Pusat Operasi APMM Sarawak ialah 082-432544 dan beroperasi 24 jam.

"Kami tidak pernah tidur dan akan bertindak seberapa segera sebaik menerima panggilan" katanya.

Mangsa, Chong Su Sian, seorang wanita berusia 31 tahun hilang selepas membuat selaman solo pada jam 4.20 petang, Sabtu lalu.

Ketika kejadian, dia yang memiliki sijil kemahiran menyelam, bersama dua penyelam lelaki serta tiga kru bot pergi ke lokasi terletak kira-kira 23 nautika dari Pulau Satang Besar untuk menjalankan aktiviti selaman rekreasi.

Mengulas lanjut, Yousry berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 malam, Sabtu lalu dan terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Selain itu Yousry turut menyangkal dakwaan keluarga mangsa yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan bahawa APMM tidak dapat meneruskan operasi kerana kehabisan minyak kapal.

"Bot peronda kami yang sudah berada di laut sejak 15 April juga diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan, jadi tidak timbul isu kami tidak dapat beroperasi kerana kehabisan minyak," katanya.

Operasi SAR mangsa dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) diteruskan hari ini dengan pencarian dalam radius 80.42 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Satang Besar.

APMM turut menggunakan dron selain Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan pesawatnya bagi melaksanakan pencarian dari udara.

Berita berkaitan

Wanita hilang ketika menyelam di Pulau Satang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:04 PM