GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Sibu: Penyedia perkhidmatan perlu dan pekerja mereka tidak perlu mendapatkan permit polis bagi melaksanakan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dipertingkatkan, di Bahagian Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Pemangku Residen Sibu Wong Hee Sieng berkata, SOP yang dipertingkatkan akan dikuatkuasakan bermula esok sehingga 26 April juga, akan mengehadkan operasi penyedia perkhidmatan ini sehingga 50 peratus daripada kapasiti biasa mereka.

"Jika anda bukan dalam perkhidmatan perlu, anda tidak dibenarkan untuk beroperasi ketika tempoh ini," katanya dalam sidang media di sini.

Mereka yang termasuk dalam penyedia perkhidmatan perlu adalah perkhidmatan awam; perbankan dan kewangan termasuk peminjam/penukar wang berlesen; penyedia perkhidmatan utiliti (termasuk penyenggaraan); pengendalian pelabuhan/penerbangan/kargo; perkhidmatan pos; stesen dan bekalan minyak dan gas/stor; dan perkhidmatan perubatan dan farmasi (termasuk kedai ubatan cina dan herba).

Perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pembentungan; telefon dan telekomunikasi (termasuk membaiki telefon dan kedai kad 'top-up'); perkhidmatan air dan darat (kapasiti 50 peratus); penjualan makanan dan minuman dan bekalan makanan; perkhidmatan servis kenderaan/kapal/bot; penjualan dan bekalan alat tulis; hotel dan penginapan; dan aktiviti agrikultur/perikanan/ternakan.

Wong berkata, kesemua penyedia perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja, kecuali untuk kecemasan, utiliti, pembentungan dan perkhidmatan udara.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan berhubung Bilik Operasi Covid-19 Polis Sibu pada talian 013-9994158 atau 084-323224.

Beliau berkata, walaupun sektor makanan dan minuman dibenarkan untuk beroperasi, namun sepanjang tempoh itu, tidak dibenarkan makan atau minum di kedai.

Permit polis masih diperlukan untuk mereka yang mahu merentas daerah.

Dengan mengurangkan keperluan permohonan permit itu, Wong berkata, lebih ramai anggota polis boleh ditugaskan untuk kerja-kerja penguatkuasaan di bahagian itu yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 sejak minggu lalu.

Beliau yang memohon maaf berkaitan kekeliruan permohonan permit dalam kalangan masyarakat baru-baru ini berkata, pihak jawatankuasanya akan terus melihat semua senarai perkhidmatan perlu dari semasa ke semasa berdasarkan kepada situasi Covid-19 di bahagian itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 4:56 PM