PUSAT Islam UTM menggagihkan bungkusan pek makanan secara percuma kepada mahasiswa UTM sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan UTM
PUSAT Islam UTM menggagihkan bungkusan pek makanan secara percuma kepada mahasiswa UTM sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan UTM
Omar Ahmad

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan antara 450 hingga 1,000 pek bungkusan makanan sebagai juadah untuk berbuka puasa kepada penuntutnya sepanjang Ramadan.

Pengarah Pusat Islam UTM, Prof Madya Dr Aminuddin Ruskam berkata, Program Iftar Ramadan UTM itu adalah inisiatif yang dijalankan Masjid Sultan Ismail UTM dan makanan diperoleh hasil sumbangan dana warga UTM, penuntut serta masyarakat awam.

"Objektifnya bagi membudayakan Ihya Ramadan dengan menghidupkan budaya infaq dan sedekah.

"Sumbangan ini tidak terhad, ia boleh diambil semua penuntut, jumlah pek makanan tidak tentu, paling sedikit kami sediakan 450 pek sehingga 1,000 pek bergantung kepada jumlah sumbangan.

"Ia bagi membantu penuntut yang kurang berkemampuan untuk membeli, mereka boleh datang ambil secara percuma," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aminuddin berkata, proses agihan dibahagikan kepada dua iaitu di masjid dan kawasan kolej kediaman.

"Bermula dari satu hingga 16 Ramadan agihan diadakan di perkarangan masjid, namun pada 17 sehingga akhir Ramadan agihan akan dibuat di kolej kediaman.

"Untuk agihan di masjid, mereka boleh pergi ke bahagian hadapan masjid bermula jam 5 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 4:08 PM