Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan ayam mencukupi dan tiada keperluan untuk menambah permit import (AP) ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan mengadakan sesi libat urus bersama pihak pembekal serta pemborong ayam.

"Sebenarnya ia (tambah AP) belum ada keperluan, cuma apa Timbalan Menteri (Datuk Rosol Wahid) kata semalam adalah kalau ada keperluan. Buat masa ini bekalan ayam mencukupi sebab kami selalu buat libat urus.

"Kita sentiasa pantau bukan hanya apabila dekat perayaan tetapi sepanjang masa. Kita diyakinkan oleh pihak pengeluar dan ladang ayam bahawa bekalan ayam mencukupi," katanya ketika sidang media pada Majlis Perasmian Riang Riuh Raya dan Malaysian Marketplace@Pavilion di Pavilion di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mempersoalkan cadangan kerajaan untuk menambah AP ayam dalam tempoh tiga minggu sebelum Aidilfitri.

Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan berkata, proses itu akan memakan masa apatah lagi jika masih pada peringkat perbincangan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya sudah mengumumkan harga runcit ayam RM7.90 sekilogram semalam bagi mengawal harga ayam di pasaran walaupun harga dari ladang naik akibat kenaikan dedak tetapi ia berjaya diselesaikan menerusi perbincangan yang diadakan bersama pihak berkaitan.

Peniaga memotong ayam tempahan pelanggan di Pasar Keramat semalam. Foto Asyraf Hamzah
Peniaga memotong ayam tempahan pelanggan di Pasar Keramat semalam. Foto Asyraf Hamzah

"Cuma saya tidak berapa suka kenyataan beliau (Shazni) kononnya keputusan kerajaan tambah AP ayam untuk diberi kepada kroni. Itu mempolitikkan isu sebab kami tidak pernah mengambil kira kroni, kalau ada keperluan kita buka kepada sesiapa saja boleh mohon.

"Bagi saya, kenyataan beliau memberi gambaran pemikiran beliau apabila jadi pemerintah nanti beliau mungkin akan beri kepada kroni," katanya.

Berhubung program Riang Ria Raya, Alexander berkata, program berkenaan bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Sebanyak 12 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdiri daripada produk makanan, pakaian, kelengkapan rumah, kecantikan dan penjagaan diri terbabit dalam program itu.

Mengenai KBBM, beliau berkata, sejak digerakkan secara giat pada Julai tahun lalu sudah berjaya mencatatkan peningkatan nilai jualan berjumlah RM1.68 bilion pada suku keempat berbanding RM1.62 bilion pada suku ketiga.

"Bagi jualan atas talian, nilai jualan produk buatan Malaysia di Marketplace utama berjumlah RM102 juta pada suku keempat berbanding RM43.53 juta pada suku ketiga 2020.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai hasil jualan bagi suku keempat adalah RM1.78 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM7.18 peratus berbanding nilai hasil jualan pada suku ketiga 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 9:00 PM