GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Mengakui berlaku peningkatan harga ayam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan peningkatan kos makanan ternakan ayam adalah antara punca utama masalah.

Berikutan itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini serta perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.

"Terdapat pelbagai faktor kenaikan harga ayam, tetapi yang paling ketara peningkatan kos makanan ternakan ayam sejak Januari tahun ini, iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara," katanya dalam sidang media mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di kementeriannya, di sini, tadi.

SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, membabitkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Nanta berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam, iaitu peringkat ladang, borong dan runcit, bagi mengekang kenaikan harga ayam yang berlebihan.

"Penetapan ini tidak membebankan peniaga, kerana setiap rantaian pengedaran ayam tersebut telah mendapat keuntungan masing-masing," katanya yang berharap penetapan harga ayam itu mengurangkan rungutan rakyat, berhubung isu kenaikan harga terutama ayam yang juga sumber protein mudah diperolehi.

Beliau berkata kawalan harga ayam itu hanya membabitkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja, semasa musim Perayaan Hari Raya Puasa.

"Harga bagi bahagian ayam yang telah dipotong tidak kawal, contohnya dada, kaki dan paha," katanya.

Nanta memberi amaran supaya harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

"Kita galakkan mereka untuk jual dengan harga lebih murah daripada yang telah ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

"Sekiranya ada yang menaikkan harga barangan, kita akan ambil tindakan nasihat terlebih dahulu dan sekiranya mereka tetap berdegil, tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:40 PM