GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Tadika dan taska yang berada dalam zon merah di Sarawak akan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa esok.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keputusan itu dibuat susulan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari bahawa semua sekolah dalam zon merah di Sarawak ditutup selama 14 hari berkuat kuasa esok.

"Penutupan ini membabitkan 2,518 buah tadika dan 213 buah taska.

"Semua tadika dan taska perlu mematuhi arahan ini dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Fatimah berkata sekiranya terdapat taska yang mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan, mereka (taska) perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan sahaja.

"Permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak.

"Ini adalah perkhidmatan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Untuk rekod, setakat 19 April terdapat sejumlah 2,795 buah tadika dan 234 taska yang berdaftar di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:30 PM