RUMAH pekerja di Ladang Ribu Bonus dijilat api angkara dibakar salah seorang penghuninya. FOTO Ihsan PDRM
RUMAH pekerja di Ladang Ribu Bonus dijilat api angkara dibakar salah seorang penghuninya. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman

Beluran: Seorang lelaki meninggal dunia akibat melecur teruk selepas rumah pekerja di Ladang Ribu Bonus di sini, dijilat api angkara dibakar salah seorang penghuninya semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.02 petang itu, mangsa berusia 29 tahun meninggal dunia selepas 10 jam menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, manakala suspek yang juga lelaki berusia 34 tahun itu turut dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan ladang berkenaan berhubung kebakaran di rumah pekerja terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati seorang pekerja ladang warga Indonesia berusia 34 tahun dipercayai menyimbah petrol di ruang tamu rumah pekerja tempat tinggal mereka.

"Akibat kejadian, suspek turut terbakar bersama mangsa yang juga warga indonesia.

"Kejadian dilihat oleh isteri mangsa yang turut melecur," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, pekerja ladang yang berada di kawasan berkenaan membantu memadamkan api daripada merebak.

"Suspek dan mangsa dikejarkan ke hospital. Mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam. Manakala suspek dalam keadaan kritikal," katanya.

Katanya, motif kejadian sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:21 PM