FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut dengan kenaikan harga ayam sejak awal Ramadan.

Kenaikan harga berkenaan berlaku tanpa alasan munasabah daripada peringkat pembekal dan penjual.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, tinjauannya di Pasar Awam Batu Lanchang dan Bayan Baru di sini, mendapati harga ayam dijual pada harga antara RM9 hingga RM10 sekilogram (kg).

Menurutnya, hanya terdapat satu gerai yang menjualnya pada harga RM8.50 kg berbanding RM7.50 kg sebelum ini.

"Penjual ayam juga mendakwa bahawa harga ayam berkenaan akan naik sebanyak 30 sen setiap minggu.

"Penjual mendakwa kenaikan harga berlaku berikutan harga makanan ternakan ayam dan perbelanjaan yang lain turut meningkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Subbarow berkata, ia seolah-olah menjadi taktik yang sengaja dicipta oleh pengedar ayam berikutan ia menjadi permintaan sepanjang Ramadan.

Menurutnya, beban itu tidak hanya memberi kesan langsung kepada pengguna tetapi terhadap restoran yang memasak dan menjual ayam.

"Ada kemungkinan bahawa mereka perlu menaikkan harga ayam yang dibeli atau dimakan pengguna di kedai.

"Sehubungan itu, CAP meminta supaya kementerian atau agensi berkaitan supaya segera campur tangan bagi menyelesaikan kenaikan harga ayam yang membebankan semua pihak.

"Tindakan tegas juga perlu diambil kepada pengedar atau peniaga ayam yang menaikkan harga secara tidak munasabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:46 PM