Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Alhamdulillah, merasa juga saya tidur di atas katil dan tilam tebal serta badan juga tidak sakit-sakit lagi kerana sebelum ini hanya beralaskan tilam nipis sahaja di atas lantai," kata penghidap penyakit saraf, Norlia Mohamed Zain dari Kampung Tanjong Mas di sini.

Dia yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat kemalangan jalan raya kini bergantung sepenuhnya kepada anak bongsu, Wan Khairul Riduan Al Hakimi Fikri Wan Kamaruddin, 23, yang sanggup berhenti kerja demi menguruskannya.

Norlia, 53, yang menetap di rumah sewa bersama dua anaknya serta ibu yang juga terlantar, Kelthom Daud, 78, akibat strok berkata, doktor memang menyarankan dia agar tidur di atas katil tapi kesusahan hidup menyebabkan mereka tidak mampu membeli keperluan itu.

"Hanya ada satu sahaja katil dan saya memberikan emak guna kerana dia juga terlantar akibat strok.

"Selama tiga tahun saya menahan bisa seluruh tubuh kerana tidur di atas lantai dan lenguh sendi disebabkan kerap diangkat anak untuk dimandikan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katil boleh laras wakaf diterima oleh Norlia adalah sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) Bukan Kerna Nama menerusi kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society.

Norlia berkata, anaknya, Wan Khairul Riduan pernah terseliuh ketika mengangkatnya sama ada untuk ke bilik air atau sekadar mengalih posisi tidurnya dan tugas itu tetap perlu dibuat kerana sudah tiada sesiapa yang lain untuk mengurusnya.

Sepanjang Ramadan, Norlia berkata, dia tetap berpuasa walau tahap kesihatannya kurang mengizinkan kerana ingin mendapatkan keberkatan bulan mulia itu.

"Untuk berbuka puasa dan sahur kami makan apa yang ada sahaja sama ada dimasak oleh anak perempuan sebaik pulang kerja di sebuah pasar raya atau dibeli jika ada wang lebih.

"Wan Khairul Riduan akan duduk di tengah antara saya dan emak untuk menyuapkan kami begitu juga untuk mandi dan tanggungjawab itu dilakukannya sejak bertahun lalu," katanya.

Dia dan ibunya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM500 sebulan, mereka menggunakan elaun itu untuk pembelian lampin pakai buang yang digunakan bersama.

Norlia menerima katil boleh laras yang diwakafkan NGO Bukan Kerna Nama di Kampung Tanjong Mas. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Norlia menerima katil boleh laras yang diwakafkan NGO Bukan Kerna Nama di Kampung Tanjong Mas. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Selain itu, bantuan berkenaan juga digunakan untuk perbelanjaan harian serta bayaran sewa rumah sebanyak RM300 sebulan kerana gaji yang diterima anak tidak seberapa, malah dua lagi anak sudah berkeluarga dan kami enggan membebankan lagi mereka," katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Norlia iaitu 0301041000101611 atau menghubunginya di talian 01111446447.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:29 PM