Zuliaty Zulkiffli


Yan: Seorang wanita dilaporkan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dalam kebakaran membabitkan lima rumah dua tingkat di Pondok Fauzi berhampiran Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Mangsa, Halimah Sidek, 60-an dibawa ke hospital berhampiran oleh jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya tiba di lokasi jam 9.41 malam sejurus menerima maklumat.

Menurutnya, kebakaran membabitkan lima rumah kelas B di Pondok Fauzi.

 KEBAKARAN membabitkan lima rumah di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang. FOTO ihsan bomba
KEBAKARAN membabitkan lima rumah di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang. FOTO ihsan bomba

Beliau berkata, operasi disertai 13 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Guar Chempedak.

"Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Limau Dalam, Gurun, Guar Chempedak, Padang Lembu, Bedong dan Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat turut membantu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal jam 10 malam dan penilaian mendapati daripada lima rumah yang terbakar, sebuah daripadanya musnah 80 peratus, rumah kedua (90 peratus), rumah ketiga (85 peratus) dan rumah kelima (10 peratus).

Beliau berkata, kebakaran turut membabitkan enam kenderaan iaitu dua kereta dan empat empat motosikal.

"Tindakan anggota BBP Yan dan dibantu BBP Guar Chempedak serta PBS yang hadir ke lokasi mengawal dan memadam kebakaran menggunakan dua aliran tiga pancutan menggunakan air dari tangki jentera dan water tanker sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 11.05 malam," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 1.40 pagi.

Berita berkaitan

5 rumah hangus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 10:40 AM