Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon supaya nama Datuk Seri Nicky Liow berada dalam senarai Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol).

Notis itu bagi menangkap suspek disyaki mendalangi kumpulan jenayah terancang, jika ahli perniagaan dalam buruan itu berada di luar negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, permohonan sedang dibuat dan dijangka diluluskan dalam masa terdekat.

"Kita belum dapat mengesan kedudukannya lagi tetapi kita percaya dia masih dalam Malaysia.

"Saya juga sudah minta pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JSJ Komersial (JSJK) untuk membantu kita mengesan Nicky.

"InshaAllah kita akan dapat tangkap jika dia masih berada di Malaysia. Petang ini kita dapat waran baru dari Mahkamah Petaling Jaya untuk buat permohonan Notis Merah," katanya ketika ditemui wartawan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, di sini, hari ini selepas menyampaikan sumbangan untuk kanak-kanak dua tahun yang mengalami kanser mata.

AYOB Khan pada majlis penyerahan sumbangan. FOTO Aswadi Alias
AYOB Khan pada majlis penyerahan sumbangan. FOTO Aswadi Alias

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki itu akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Pada 12 April lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata, PDRM memohon Notis Biru Interpol untuk kesan Nicky.

Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat mengenai orang yang menjadi perhatian.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata tiada lagi amaran kepada anggota dan pegawai polis yang bersekongkol dengan sindiket itu.

"Isu pokok yang ditekankan adalah integriti bukan lagi amaran, yang perlu dibuat adalah tindakan tegas.

"Tak ramai yang terbabit isu integriti ini tetapi mereka perlu dibersihkan dan

perlu dikeluarkan daripada sistem dan daripada PDRM," katanya.

Ini katanya, untuk memastikan nama baik PDRM tidak tercemar.

AYOB Khan (kanan) bersama isterinya Pengerusi PERKEP Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin  (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asnadi (dua kiri) dan Nurfazlena yang memangku Nur Aafiyah Mikayla. FOTO Aswadi Alias
AYOB Khan (kanan) bersama isterinya Pengerusi PERKEP Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asnadi (dua kiri) dan Nurfazlena yang memangku Nur Aafiyah Mikayla. FOTO Aswadi Alias

Pada majlis hari ini, Ayob Khan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin menyampaikan sumbangan hampir RM20,000 kepada Pembantu Tadbir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar Norfazlena Afizal, 36, bagi membantu meringankan beban apabila anaknya Nur Aafiyah Mikayla, 2, disahkan alami kanser mata tahap empat sejak Mac lalu.

Norfazlena turut ditemani suaminya Mohd Asnadi Sakeh@Salleh, 35, yang bekerja menoreh getah.

Sementara menguruskan Aafiyah Mikayla di hospital, dua lagi anak mereka iaitu Nur Akilah Khalisah, 9, dan Nur Khairah Dannisyah, 8, dijaga ibu Mohd Asnadi di Kampung Simpang Lima Darat di Bukit Gambir, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 4:58 PM