PENIAGA menyusun ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
PENIAGA menyusun ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Saya ronda beberapa gerai jual ayam dan tinjau harga kemudian baru buat pembelian sebab harga berbeza," kata Nik Murhaliza Zainon, 39.

Beliau yang ditemui di Pasar Chow Kit, di sini berkata, harga ayam walaupun ada kenaikan, tetapi masih mampu beli.

Namun, katanya, tidak berbaloi membuat pembelian jika harga ayam naik sehingga RM10 sekilogram.

"Okay lagi harga, cuma kita kena tinjau dululah sebab ada perbezaan harga antara gerai menjual ayam di sini.

"Bagi saya walaupun harga ditawarkan antara RM8.50 hingga RM9, tetapi ayam dijual lebih berkualiti berbanding ayam dijual di pasar raya sekitar RM6.50 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurujual berkata, ayam antara menu utama keluarga terutama digemari tiga anaknya.

Beliau berharap kerajaan mengawal harga ayam di pasaran supaya tidak melonjak seterusnya membebankan pengguna tegar ayam seperti keluarganya.

Sementara itu, peniaga ayam dikenali sebagai Rahim, 57, berkata, dia terpaksa naikkan harga sebab pembekal menaikkan harga ayam.

"Saya jual RM8.50 sekilogram untuk ayam daging selepas menerima harga pembekal RM7.50.

"Itupun buat masa ini kerajaan belum tetapkan harga siling, bagi saya jika contohnya ditetapkan RM8, baiklah tak payah meniaga sebab tak pulang modal kos dikeluarkan," katanya.

Peniaga ayam, Akmal Ilyas, 25, berkata peniaga hanya boleh menurunkan harga ayam jika pembekal membuat tindakan sama.

Beliau berkata, peniaga tidak akan menaikkan harga sesuka hati jika bekalan yang diterima tiada peningkatan harga.

Harga bagi sekilogram ayam sebelum Ramadan adalah RM8.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, ulasan kenaikan harga ayam itu sudah dibuat Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, yang mengakui berlakunya peningkatan kenaikan harga ayam di pasaran.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan itu bukanlah seperti dilaporkan orang ramai yang mengatakan harga naik mendadak.

"Ada naik sedikit tapi masih dalam paras (kawalan)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Pantau di bazar Ramadan Presint 3, di Putrajaya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 12:44 PM