GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Seorang bekas Penolong Eksekutif Pembangunan Peserta Felcra Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan butiran buku akaun milik majikannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh Mohd Haire Aw Sudin, 43, yang berasal dari Temerloh, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan akaun milik majikannya, Imperes Tabung Kebajikan Peserta Felcra Berhad kawasan Anak Endau dengan niat untuk menipu, di pejabatnya di Rompin, pada Januari hingga April 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon ia dikurangkan dengan alasan dia berdepan masalah kewangan sejak dibuang kerja tahun lalu dan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mei ini untuk tertuduh melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:42 PM