GAMBARA Hiasan.
GAMBARA Hiasan.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Orang ramai yang mempunyai kompaun dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mengambil peluang menyelesaikan tunggakan berkenaan menerusi Kempen Pengurangan Kompaun yang dianjurkan majlis berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan kempen pengurangan kompaun itu bermula semalam hingga 12 Mei ini dengan menawarkan sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan.

"Kempen yang dilaksanakan ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.

"Kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007; Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007.

"Selain itu, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007; Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007; Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

Menurutnya, bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

"Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urus niaga di kaunter Majlis atau membawa tindakan ke mahkamah," katanya.

Shahrin berkata, sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:42 PM