AHMAD Dasuki (depan dua dari kanan) dan Muhammad Irwan (depan tiga dari kiri) pada Majlis Pelepasan Program PTPTN Prihatin di Menara PTPTN, semalam.
AHMAD Dasuki (depan dua dari kanan) dan Muhammad Irwan (depan tiga dari kiri) pada Majlis Pelepasan Program PTPTN Prihatin di Menara PTPTN, semalam.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan peruntukan dana RM1 juta bagi membantu 5,000 golongan asnaf di Kuala Lumpur menerusi Program PTPTN Prihatin.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) bagi mengurus dan menyelaras agihan sumbangan berkenaan.

"Daripada jumlah berkenaan, RM500,000 diserahkan kepada Dana Kita sebagai persediaan untuk menyediakan bantuan ini meliputi barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung dan sebagainya,

"Manakala RM500,000 lagi diberikan dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi menggalakkan budaya menabung dalam golongan asnaf.

"Kami yakin, Dana Kita sebagai pertubuhan kebajikan yang aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program amal dapat bekerjasama dengan PTPTN merealisasikan hasrat murni ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Program PTPTN Prihatin di Menara PTPTN di sini, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhan setiap keluarga asnaf menerima sumbangan RM200 berupa barangan keperluan harian berjumlah RM100 dan RM100 lagi akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak berumur 18 tahun ke bawah.

Katanya, bagi melancarkan pemberian sumbangan ini, PTPTN menubuhkan pasukan sukarelawan iaitu Skuad PTPTN Prihatin di bawah CSR PTPTN.

"Objektif Skuad PTPTN Prihatin untuk melaksanakan dan menggerakkan program kesukarelawan dan kemanusiaan diterajui oleh PTPTN.

"Saya berharap sumbangan PTPTN ini dapat mengurangkan beban penerima golongan asnaf di Kuala Lumpur," katanya.

Hadir sama, Timbalan Presiden Dana Kita Muhammad Irwan Omar.

Dalam pada itu, dalam usaha mengenal pasti golongan asnaf berkelayakan, PTPTN mengambil inisiatif bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:31 AM