ABDUL Rahman selepas merasmikan Pekebun Kecil Makmur Risda Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.
ABDUL Rahman selepas merasmikan Pekebun Kecil Makmur Risda Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.
Roselan Ab Malek

Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Risda menyasarkan 552,543 pekebun kecil getah di seluruh negara menjana pendapatan purata sehingga RM4,500 sebulan bagi setiap keluarga menjelang 2025.

Bagi menjayakannya, KPLB menyalurkan peruntukan RM410.8 juta kepada Risda termasuk peruntukan RM63.3 juta di Pahang yang disalurkan kepada 67,232 pekebun kecil bagi melaksanakan program pembangunan.

Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu RM322.1 juta untuk program kawasan bertanam getah, RM58.7 juta untuk program peningkatan produktiviti dan pembangunan serta RM30 juta lagi untuk program pembangunan hasil baharu.

RISDA turut menyampaikan zakat korporat kepada 1,259 asnaf di Pahang.
RISDA turut menyampaikan zakat korporat kepada 1,259 asnaf di Pahang.

"Semua program berkenaan akan memberi manfaat kepada 552,543 pekebun kecil Risda di seluruh negara.

"Risda sedaya upaya memelihara kebajikan komuniti pekebun kecil yang terbabit dalam aktiviti industri getah dan aktiviti keusahawanan, " katanya.

Selain itu katanya, Risda turut membina 691 kilometer (km) jalan pertanian di seluruh negara termasuk 57.74km di Pahang bagi memudahkan urusan pekebun kecil di ladang.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, bagi program tanam semula tahun ini peruntukan RM26.5 juta disalurkan membabitkan kawasan seluas 3,450 hektar.

"Risda akan melaksanakan 50 projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) membabitkan kawasan seluas 91,693 hektar dan 574 hektar untuk bantuan input pertanian tahun ini," katanya selepas merasmikan Pekebun Kecil Makmur Risda Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 178 asnaf menerima bantuan berjumlah RM71,200.

Hadir sama Ketua Pengarah Risda Abdullah Zainal.

ABDUL Rahman menyerahkan bantuan kepada penerima asnaf.
ABDUL Rahman menyerahkan bantuan kepada penerima asnaf.

Abdul Rahman berkata, Risda turut menerima RM40.2 juta untuk program aktiviti ekonomi dan pembangunan keusahawanan.

Katanya, di Pahang peruntukan RM3.52 juta memberi manfaat kepada 513 usahawan sedia ada dan 416 bakal usahawan baru tahun ini.

Katanya, Risda turut memperkenalkan Program Pembangunan Semula Hasil Baharu dengan peruntukan RM30 juta dan di Pahang RM3.3 juta disediakan untuk 263 penerima.

"Program ini membantu pekebun kecil menjalankan aktiviti pertanian seperti tanaman sayur fertigasi, ternakan dan sebagainya selain getah dan sawit bagi menambah pendapatan keluarga," katanya.

Pada majlis itu juga Risda turut menyampaikan zakat korporat RM395,000 kepada 1,259 asnaf di Pahang hasil keuntungan ladang diuruskan Risda Estates Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:15 AM