GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan Covid-19 susulan peningkatan kes wabak berkenaan sejak akhir-akhir ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini, yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Ro/Rt) pada 11 April lalu untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06.

Beliau berkata, data di peringkat negeri pula menunjukkan Terengganu merekodkan Ro/Rt tertinggi iaitu 1.56.

"Walaupun aktiviti sepanjang Ramadan dibenarkan, ia tidak bermakna kita boleh leka kerana Covid-19 tidak pernah bercuti.

"Data daripada KKM menunjukkan kemungkinan berlakunya gelombang keempat Covid-19. Maka, kita bersama-sama perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apatah lagi pada bulan Ramadan terdapat banyak aktiviti seperti Bazar Ramadan, majlis berbuka, moreh dan solat Tarawih berjemaah.

"Di Malaysia, walaupun kita masih merekodkan empat angka kes harian iaitu 1,000 lebih namun perkembangan ini masih belum menunjukkan kita selamat daripada dijangkiti wabak ini," katanya dalam sidang media selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Beliau berkata, Ramadan kali ini disambut dalam suasana negara masih dibayangi penularan Covid-19, namun terdapat sedikit kelonggaran diberikan sepert solat Tarawih dan dilakukan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Ismail Sabri berkata, ketika ini perkembangan terkini COVID-19 di beberapa negara yang masih dalam keadaan tidak menentu dengan berlakunya turun-naik dalam kes harian.

Katanya, sehingga kini, lebih 134.9 juta kes direkodkan dengan 2.918 juta kematian di seluruh dunia dan kebanyakan kes dilaporkan membabitkan jangkitan dalam komuniti serta kes kluster.

Selain itu, beliau berkata, penemuan varian baharu di beberapa negara seperti United Kingdom, Afrika Selatan, Nigeria dan Brazil pada hujung tahun lalu, menjadi antara faktor berlakunya ketidaktentuan kes pada hari ini.

"Data terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan India merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 152,879 kes diikuti Brazil, 93,317 kes, Turki (52,676 kes) dan Perancis (43,283 kes), dan Itali (23,634 kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 9:17 PM