DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani berucap Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara Polis Diraja Malaysia, Anggota dan Waris Pasukan Gerakan Am di Masjid Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani berucap Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara Polis Diraja Malaysia, Anggota dan Waris Pasukan Gerakan Am di Masjid Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memohon notis biru kepada Interpol (Polis Antarabangsa), bagi mengesan dan menangkap ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang di negara ini sekiranya berada di luar negara.

Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat, tentang orang yang menjadi perhatian.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada agensi antarabangsa itu.

"Saya percaya jika (suspek) dapat dikesan, mereka (Interpol) akan memaklumkan kepada kita," katanya dalam sidang selepas menyampaikan sumbangan kepada waris anggota Pasukan Gerakan Am, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari, serta pesara PDRM di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis melumpuhkan kumpulan jenayah 'Geng Nicky', yang disyaki terbabit dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Selain itu, PDRM turut merampas wang tunai ratusan ribu ringgit serta aset bernilai jutaan ringgit menerusi 70 serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 4:41 PM