ZAINUDDIN menanam pokok ketika perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAINUDDIN menanam pokok ketika perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dikenal pasti sebagai lokasi panas yang aktif dengan kes penipuan atau scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaa'cob berkata, Selangor merekodkan 1,050 kes diikuti Kuala Lumpur (615 kes) dan Johor (497 kes) bagi tempoh Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga bulan itu, jumlah keseluruhan kes di negara ini ialah 5,078.

"Dalam tempoh tiga tahun kes penipuan menunjukkan peningkatan iaitu 13,568 kes pada 2018, 14,245 kes pada 2019 dan 17,553 kes pada 2020.

"Jumlah tangkapan pula membabitkan 13,645 individu ditahan pada 2018, 13,835 orang (2019) dan 15,440 orang tahun lalu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan dan Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari.

Terdahulu, Zainuddin menyempurnakan acara menanam pokok di perkarangan IPD Kuala Muda hari ini.

Zainuddin berkata, kes itu membabitkan Macau Scam, Love Scam, tipu bomoh, khidmat pesan ringkas (SMS), tipu tanah, kad kredit, penyamaran, tipu perniagaan dan pinjaman tidak wujud.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan menjawab sebarang panggilan telefon dari nombor tidak dikenali.

"Scammer akan mencari mangsa yang dirasakan boleh ditipu malah mangsa membabitkan golongan profesional seperti doktor, peguam dan ahli perniagaan," katanya.

Zainuddin berkata, di Kedah, empat daerah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu dan Kulim merekodkan kes penipuan yang paling banyak setakat ini.

Beliau berkata, daerah Kuala Muda merekodkan jumlah 1,079 kes yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM41.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, orang ramai jangan mudah memberi kata laluan atau dokumen diri kepada orang tidak dikenali bagi mengelakkan ditipu.

Katanya, sekiranya mengesyaki sesuatu mencurigakan, mereka boleh menghubungi polis atau membuat semakan di laman sesawang Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:47 PM