Hasni Mohammad.
Hasni Mohammad.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penggunaan sains dan data dalam sektor pertanian demi meningkatkan kecekapan serta memberi nilai tambah bagi produk pertanian.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pertanian kini dilihat sebagai satu daripada sektor penting, dan menjadi antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, iaitu 16.2 peratus dengan jumlah RM16.25 bilion.

Menurutnya, eksport produk pertanian Malaysia ke Singapura mencecah sebanyak AS$2 bilion atau hampir RM8 bilion setiap tahun.

"Pada 2018 Singapura mengimport kira-kira 16.4 peratus daripada jumlah makanan mereka dari Malaysia dan angka ini dijangka meningkat setiap tahun.

"Apabila saya menyebut mengenai data dan sains untuk menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan, kita perlu mengambil langkah ke hadapan.

"Bukan saja sebagai pembekal bahan makanan mentah, malah dengan adanya perkembangan dan penguasaan sains dan data oleh sektor dalam industri ini, kita boleh menambah nilai dalam pengeluaran produk pertanian dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di sini, malam tadi.

Sementara itu, Hasni berkata, terdapat anak syarikat milik kerajaan yang sinonim dengan sektor hartanah turut berminat untuk mengembangkan pelaburannya dalam bidang pertanian.

"Syarikat berkenaan memiliki kira-kira 1,214 hektar tanah di Iskandar Puteri dan berjumpa dengan Kerajaan Negeri menyatakan minat mereka untuk melabur dalam sektor pertanian.

"Mereka hendak menanam tomato, cili dan tanaman lain yang terbaik dalam dunia di Iskandar Puteri, iaitu kawasan yang bernilai untuk pembangunan hartanah, kondominium dan sebagainya.

"Hari ini syarikat itu melihat ia adalah pelaburan yang sama pentingnya, nilai pulangannya juga sama sekiranya kita betul-betul beri tumpuan dalam sektor pertanian yang bernilai tinggi," katanya.

Hasni berkata, pihaknya menyeru semua agensi kerajaan yang terbabit dalam sektor pertanian memantau peruntukan yang diberikan supaya dapat disalurkan dan memberi manfaat bagi membangunkan bidang terbabit.

Menurutnya, Johor menerima peruntukan sebanyak RM35 juta daripada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi sektor pertanian.

"Kita ambil pendekatan kerajaan melabur RM35 juta dalam sektor pertanian. Apabila kita buat pelaburan, bererti kita mahukan pulangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:20 PM