Terengganu, Kelantan dan Sabah antara negeri yang merekodkan kadar pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang rendah.
Terengganu, Kelantan dan Sabah antara negeri yang merekodkan kadar pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang rendah.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terengganu, Kelantan dan Sabah antara negeri yang merekodkan kadar pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang rendah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tiga negeri berkenaan merekodkan pendaftaran antara 12 hingga 28 peratus, setakat ini.

"Pendaftaran untuk program imunisasi di ketiga-tiga negeri ini masih rendah dan kita khuatir ia akan mengganggu hasrat kerajaan yang menyasarkan 70 peratus dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

"Walaupun sasaran awal pada Mac tahun depan, tetapi kerajaan memutuskan supaya disegerakan kerana kita mahu memulihkan ekonomi rakyat.

"Daripada segi pendaftaran yang dibuat, setakat ini hanya 8.4 juta daripada 24 juta orang yang disasarkan sudah berdaftar, dan jumlah ini masih lagi jauh dan sebab itu kita menyeru rakyat untuk segera mendaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Perdana Media Bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di sini, malam semalam.

Menurut Ahmad Amzad, selain pendaftaran melalui MySejahtera, kerajaan turut menggerakkan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) bagi membantu urusan pendaftaran berkenaan.

Katanya, sukarelawan terbabit turut digerakkan di kawasan kampung, pasar dan tempat tumpuan awam bagi membantu orang ramai termasuk warga emas melakukan pendaftaran vaksin Covid-19.

Terdahulu, seramai 8,500 belia sudah berdaftar sebagai sukarelawan MyVac untuk membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:12 PM