GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang kru bot nelayan tempatan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Igan, Mukah, semalam.

Mangsa, Azrie Shafian Floren, 28, disedari hilang dari bot berkenaan oleh rakannya pada 8 pagi, sebelum menghubungi majikannya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya kemudian menerima maklumat berhubung kejadian dari Balai Polis Lanang, Sibu.

"Berdasarkan maklumat daripada pihak polis itu, mangsa dipercayai jatuh ke laut pada jarak kira-kira 19 batu nautika dari Kuala Igan.

"Berikutan itu, APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan Igan, Mukah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna biru dan seluar pendek berwarna hitam.

"Sehingga jam 7.30 malam tadi, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pencarian memfokuskan di sekitar lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 1:43 PM