NOOR Suzilawati (kiri) dan Normah. FOTO Roselan Ab Malek
NOOR Suzilawati (kiri) dan Normah. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Lipis: Usahawan luar bandar yang menyertai DesaMall@Lipis bersyukur dan bangga kerana produk mereka terpilih untuk dipasarkan secara meluas serta sistematik oleh pihak pengurusan.

Bagi Noor Suzilawati Nasrudin, 33, dari Kampung Lebok, Jeram Landak, Lipis yang mengusahakan produk kerepek pisang dan muruku serta kacang sejak empat tahun lalu banyak perubahan dirasainya sejak menyertai program berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini beliau terpaksa menjual sendiri atau meletakkan barangannya di kedai runcit, stesen minyak dan pasar raya dengan hasil jualannya yang agak sederhana.

"Tetapi sejak saya menyertai program DesaMall@Lipis, sebulan lalu, jualan begitu memberangsangkan, setakat ini sudah tujuh kali saya menambah produk," katanya.

Pengalaman yang sama turut dikongsi Normah A Rahman, 58, usahawan dari Jerantut yang menghasilkan produk kerepek bawang dan biskut kelapa.

Beliau menyifatkan program DesaMall@Lipis banyak membantunya dari segi pemasaran.

Katanya, beliau kini hanya perlu menumpukan kepada pembuatan produk manakala dari segi pasaran dilakukan oleh DesaMall@Lipis secara dalam talian dan ia menjimatkan masa berbanding sebelum ini.

Pada masa sama, usaha dilaksanakan DesaMall@Lipis itu turut mendapat pujian pengunjung Roslan Abdul Razak, 53, dari Taman LKNP, Lipis yang menyifatkan ia memudahkan pembeli sepertinya mendapatkan produk usahawan tempatan dalam satu tempat.

Katanya, susunan tempat barangan juga menarik dan selesa selain memudahkan pembeli memilih barangan pilihan mereka.

Bagi Wan Zulkifli Wan Ishak, 43, dari Kampung Kemunting, Kuantan yang baru pertama kali mengunjungi kemudahan berkenaan begitu kagum dengan susun atur barangan dipamerkan.

"Sebelum ini saya terpaksa pergi ke beberapa tempat di Lipis untuk mencari gula kabung dan dodol gula kabung tetapi kini semuanya boleh didapatkan di sini.

"Selepas ini saya juga boleh memesan produk yang dipasarkan secara atas talian," katanya.

Sementara itu, operator DesaMall@Lipis, Wan Farid Afiqf Wan Nasruddin berkata, walaupun baru beroperasi sebulan lalu sambutan diterima begitu memberangsangkan.

Katanya, selain penduduk tempatan, ia turut menjadi tumpuan penduduk dari luar daerah yang ingin mencari produk keluaran Lipis dan Pahang sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Beliau berkata, pihaknya membantu usahawan luar bandar dengan mengubah perniagaan sedia ada menerusi teknologi digital bagi tujuan pemasaran secara terus kepada pembeli.

Katanya melalui program ini, ramai usahawan luar bandar boleh meneroka bidang perniagaan secara dalam talian kerana kaedah itu terbukti menjadi lebih berkesan merangsang kreativiti pengguna terhadap teknologi baharu dan pengembangan peluang pasaran baru.

"Ini terbukti, walaupun DesaMall@Lipis baru bermula pada 20 Februari lalu, ia sudah mencatat jualan yang memberangsangkan iaitu jumlah jualan RM27,000.

"Malah, jualan barangan makanan tempatan seperti sambal hitam, gula kabung, dodol dan biskut kelapa antara barangan popular dalam kalangan pembeli dalam talian dan pembeli tempatan," katanya.

Beliau berkata, DesaMall@Lipis beroperasi setiap hari dan ditutup pada hari Isnin.

Wan Farid Afiqf berkata, beliau bercadang mempopularkan produk tempatan khususnya gula kabung dengan mempelbagaikan produknya.

"Saya bercadang memperkenalkan pelbagai jenis makanan berasaskan gula kabung kepada pengunjung yang datang ke bandar Kuala Lipis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 9:44 AM