ISMAIL Sabri bergambar bersama pengurusan kanan Pulada, Johor di Ulu Tiram. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ISMAIL Sabri bergambar bersama pengurusan kanan Pulada, Johor di Ulu Tiram. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM1.34 juta bagi menaik taraf pembangunan dan kemudahan asas di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan yang diluluskan berdasarkan keperluan dalam memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di tahap tertinggi selain mengutamakan kebajikan anggota.

Katanya, lawatan dijalankan setiap dua minggu sekali ke kem tentera terpilih itu secara tidak langsung memberi peluang untuk meneliti dan mempertimbangkan bantuan yang boleh disalurkan.

"Setiap kem, kerajaan meluluskan peruntukan berdasarkan keperluan yang boleh diluluskan segera. Seperti di Pulada ada beberapa permohonan sewaktu taklimat dijalankan.

"Ia meliputi naik taraf penginapan peserta kem iaitu peruntukan berjumlah RM340,000, selain yang segera iaitu masjid atapnya bocor memerlukan peruntukan RM1 juta.

"Selain itu, antara yang diluluskan adalah pagar kem ini. Walaupun orang takut mahu masuk tanpa kebenaran, ia perlu dinaik taraf membabitkan peruntukan RM2.2 juta," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Pulada, Ulu Tiram di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Ismail Sabri berkata, bagi isu 32 keluarga yang masih belum dapat perumahan selesa, permohonan dicadangkan adalah RM6.4 juta selain pihaknya akan memasukkan dalam peruntukan tahun depan untuk ditambah.

Pada program berkenaan, turut diadakan demonstrasi kompetensi tiga anjing perang dan lawatan kebajikan kepada anggota tentera.

DEMONSTRASI anjing perang. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DEMONSTRASI anjing perang. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 9:10 AM