PESAWAT Sukhoi Su-30MKM  TUDM yang terbabit dalam latihan bersama tentera Amerika Syarikat.
PESAWAT Sukhoi Su-30MKM TUDM yang terbabit dalam latihan bersama tentera Amerika Syarikat.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Misi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan kedaulatan negara serta kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan sentiasa menjadi keutamaan TUDM.

Bagi mencapai misi itu, kecekapan dan kemahiran juruterbang TUDM khususnya dibuktikan melalui latihan termasuk bilateral dan multilateral.

Terbaharu ia dilakukan hasil latihan bersama TUDM dan tentera Amerika Syarikat atau United State Navy (USN).

TUDM diwakili pesawat Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet sementara USN diwakili oleh pesawat F/A-18 E/F dan EA-18G dari kapal pengangkut USS Theodore Roosevelt Carrier Strike Group (CVN 71).

Melalui latihan selama dua hari itu, TUDM berjaya melaksanakan dan mencapai objektif melalui latihan Passing Exercise (PASSEX) siri 1/2021.

Siri latihan PASSEX pada kali ini memberikan tumpuan kepada operasi udara bersama dan integrasi unit.

Pada hari terakhir latihan, pesawat TUDM dan pesawat USN melaksanakan penerbangan formasi bersama di atas kapal pengangkut USS Theodore Roosevelt Carrier dengan jayanya.

Secara keseluruhannya, eksesais selama dua hari ini berjaya memperlihatkan kerjasama di antara TUDM dan USN dalam mewujudkan hubungan dua hala yang strategik.

Malah, latihan diadakan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan diplomasi ketenteraan.

Selain itu, pegawai dan anggota TUDM dapat berkongsi pengalaman serta ilmu pengetahuan dalam melaksanakan operasi bersama pada masa akan datang.

PESAWAT TUDM yang terbabit dalam latihan PASSEX siri 1/2021.
PESAWAT TUDM yang terbabit dalam latihan PASSEX siri 1/2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:01 AM