Sebanyak 14 kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di sebuah bengkel mengecat kereta di Persiaran Perindustrian Pengkalan 21, Kawasan Perindustrian Pengkalan malam semalam. FOTO IHSAN MANGSA
Sebanyak 14 kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di sebuah bengkel mengecat kereta di Persiaran Perindustrian Pengkalan 21, Kawasan Perindustrian Pengkalan malam semalam. FOTO IHSAN MANGSA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Saya ketika ini buntu dan sedang memikirkan bagaimana cara untuk menanggung kerugian kenderaan yang musnah akibat terbakar."

Begitu kata Saiful Rizuan Rapaie, 38, apabila 14 kenderaan termasuk sebuah motosikal hangus dalam kebakaran di bengkel mengecat kereta miliknya di Kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini, malam semalam.

Saiful berkata, dia dihubungi pekerja kilang plastik bersebelahan pada 8 malam memaklumkan bengkelnya terbakar.

Menurutnya, ketika itu dia bersama semua pekerjanya berada di rumah ibunya di Kampung Sri Kinta, di sini, kerana mengadakan kenduri doa selamat.

"Saya terus bergegas ke bengkel dan terkejut melihat api sedang marak memusnahkan kenderaan yang diletakkan di dalam dan depan premisnya.

"Ketika kejadian terdapat 20 kenderaan di bengkel, di mana 14 kenderaan yang diletakkan di dalam dan bahagian depan (porch) musnah terbakar, manakala baki yang diparkir di luar terselamat.

"Kebiasaannya apabila nak dekat raya (Aidilfitri) ini, kereta banyak dan kami tutup lewat sekitar 11 malam ke 12 malam, tetapi kebetulan masa kejadian kami tutup awal," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan sebanyak 14 kenderaan musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel mengecat kereta di Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.30 malam sebelum anggota bergegas ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, sebuah jentera dengan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan BBP Simpang Pulai dihantar ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan sebuah bengkel mengecat cat kereta yang menyebabkan 14 kenderaan pelbagai model termasuk sebuah motosikal turut musnah," katanya.

Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 9:08 PM